Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada seluruh pembaca kerana keterlewatan menyambung tulisan saya yang lalu. Apa pun saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan Eid Mubarak Eidul Adha kepada semua para pembaca yang budiman, semoga ruh dan semangat pengorbanan ketiga-tiga insan, Hazrat Ibrahim a.s., Hazrat Ismail a.s. dan Hazrat Hajrah sentiasa subur dan mekar di dalam kehidupan kita. Amin.
Berkat pengorbanan dan doa mereka a.s. lah yang telah melahirkan wujud suci Rasullullah s.a.w. yang telah di utus oleh Allah swt kedunia ini untuk Rahmat Sekelian Alam. Selawat dan Salam keatas junjungan kita Muhammad s.a.w.
Namun apakah cukup bagi umat Islam sekadar melafazkan selawat dan salam keatas junjungan kita s.a.w. tanpa kita menghayati dan menteladani kehidupan suci Rasullullah s.a.w.? Apakah zaman kebangkitan Islam akan menjadi kenyataan dengan hanya umat Islam menceritakan dan memperdengarkan kisah suci kehidupan Rasullullah s.a.w. tanpa berusaha mengamalkannya di dalam kehidupan kita?
Ketahuilah bahawa zaman kebangkitan Islam hanya dapat menjadi kenyataan dengan kita menghayati, menteladani dan mengamalkan kehidupan suci Rasullullah s.a.w. dan menjadikan beliau s.a.w. sebagai contoh atau role model di dalam kehidupan kita. Di zaman permulaan Islam ketika pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang menghadapi penganiayaan yang luarbiasa, Allah swt menurunkan khabar suka mengenai kemenangan Islam. Musuh-musuh Islam yang mendengar wahyu ini mentertawakan Rasullullah s.a.w. dan para sahabat-sahabat beliau s.a.w., kerana pada pandangan mereka umat Islam tidak memiliki apa-apa kekuatan. Namun akhirnya mereka sendiri kehairanan dan bungkam apabila melihat betapa sempurnanya janji-janji Allah swt yang mendatangkan kiamat kepada masyarakat Jahiliyah dan memulakan zaman baru yang penuh dengan keberkatan di bawah pimpinan yang Mulia Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam memperolehi kemenangan dan kejayaan bukan di sebabkan kekuatan senjata, tetapi keteguhan Iman dan kepatuhan dan keitaatan mereka kepada Allah swt dan Nabi Muhammad s.a.w. Kekuatan ini yang telah membolehkan umat Islam menghadapi penganiayaan , penentangan, kekerasan dan serangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, dan akhirnya mereka bukan sahaja telah mengalahkan orang-orang Musyrikin Mekkah malah turut menundukkan dua super power iaitu Rom Timur dan Parsi.
Peristiwa ini pasti akan berulang lagi kerana Al Quran sendiri memberikan gambaran bahawa kebanyakan kisah di dalamnya akan mengalami pengulangan. Semua pihak merasakan umat Islam tidak boleh bangkit lagi dengan kemenangan yang gemilang , tetapi Allah swt memiliki perancangan suci dan Dia telah berjanji untuk mengunggulkan Islam di atas agama-agama yang lain. Allah swt tidak akan membiarkan raksasa-raksasa kuasa besar untuk berterusan menyesatkan dan mendatangkan kerosakan kepada dunia. Allah swt telah beberapa kali mengoncangkan sistem ekonomi mereka dan mendatangkan dua azab yang besar melalui Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945). Berdasarkan peristiwa tersebut, Allah swt amat mudah untuk membantu umat Islam mengalahkan kuasa-kuasa besar dunia ini, namun umat Islam mestilah terlebih dahulu berusaha untuk memperbaiki kecintaannya kepada Allah swt dengan mengikuti pesan dan nasihat serta ajaran suci Baginda s.a.w. Allah swt telah memberikan jaminan kepada umat manusia bahawa jika mereka ingin dicintai oleh Nya tiada jalan lain kecuali mengikuti langkah-langkah kehidupan dan akhlak suci Baginda s.a.w, "Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu" (3:31). Sebenarnya disinilah terletaknya segala kekuatan untuk memecahkan segala permasalahan umat Islam. Jika Allah swt Pemilik Alam Raya ii telah mencintai umat Islam, apakah ada kekuatan lain yang mampu menahan kebangkitan dan kemenangan Islam pada abad ini
