Wednesday, July 21, 2010

Hidupkan Dakwah Islam !

Dalam menghadapi ancaman fitnah-fitnah oleh musuh-musuh Islam pula, umat Islam perlu banyak membaca dan mendalami ilmu agam Islam serta mempelajari agama-agama lain. Selama ini akibat kekurangan membaca dan malas menggali ilmu mengakibatkan umat Islam bersikap tertutup dan ini menyuburkan penyakit berperasangka buruk dalam kalangan mereka. Apa yang dikesalkan selama ini, umat Islam sering diingatkan mengenai bahaya Kristianisasi, tetapi mereka tidak dibekalkan ilmu yang secukupnya untuk menghadapi ancaman ini. Masalah ini menyebabkan umat Islam menjauhkan diri daripada berbicara mengenai agama dengan pengganut agama Kristian dan tanpa disedari masalah ini telah membantutkan proses dakwah Islam secara efektif. Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila ada sesetengah Ulama Islam yang terlalu berhati-hati dan berperasangka buruk terhadap agama-agama lain terutamanya agama Kristian. Mereka menanamkan sikap benci dan sering mengelak untuk berbincang atau berdebat secara sihat dengan tokoh-tokoh agama Kristian. Malah, pernah suatu ketika ada ulama yang mengeluarkan fatwa bahawa Al-Quran tidak boleh dicetak, mikrofon dan pembesar suara dilarang untuk digunakan semasa khutbah atau mengumandangkan azan.Alasannya disebabkan peralatan tersebut dicipta oleh masyarakat barat (Kristian) yang dianggap sebagai "syaitan".

Lihatlah betapa ruginya jika seseorang memiliki sikap berperasangka buruk. Mujurlah Nabi Muhammad s.a.w meninggalkan beberapa peristiwa untuk umat Islam pada hari ini untuk menilai sendiri sikap keterbukaan dan toleransinya terhadap agama-agama lain. Rasulullah s.a.w mampu memperlihatkan sikap toleransinya kerana Baginda s.a.w menjauhi sikap perasangka buruk dan ini dilakukan demi menarik mereka kepada Islam. Salah satu peristiwa tersebut ialah : " Suatu perutusan suku Kristian dari Najran menghadap baginda s.a.w di Madinah untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam masalah keagamaan. Perbincangan itu diadakan di dalam masjid dan berjalan beberapa jam. Kemudian perutusan itu meminta izin meninggalkan masjid bagi mengadakan upacara kebaktian di suatu tempat yang tenang. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa mereka tidak perlu maninggalkan masjid yang sememangnya merupakan tempat khusus untuk kebaktian kepada Tuhan dan mereka dapat melakukan ibadah mereka di dalam masjid" (Zurqani ). Sikap keterbukaan dan toleransi baginda sa.w yang telah mencairkan hati orang-orang kafir yang degil dan keras telah menjadi larut bersama agama Islam dan kecintaan Allah s.w.t.